Aku dan taubat: Insan kerdil dibumi Allah

Sesungguhnya sesiapa yang bertaubat sebelum matahari terbit dari barat, nescaya Allah akan menerima taubatnya dan memaafkannya.

"Sesungguhnya Allah maha mulia lagi maha mengasihani, menerima taubat seseorang sebelum nyawanya sampai di kerongkongnya. Semoga Allah menerima taubat kita.

Syarat-syarat taubat :

1. Ikhlas ingin bertaubat
2. Tidak akan mengulangi perbuatan dosa itu lagi
3. Menyesal atas perbuatan yang telah dilakukan
4. Harus mempunyai tekad di dalam hati tidak akan melakukan dosa itu untuk selama-lamanya
5. Dikerjakan sebelum ajal tiba
Jika salah satu syarat tidak dipenuhi, maka taubat yang dilakukan itu tidaklah sah. Jika dosa berkaitan dengan manusia yang lain, maka syaratnya ditambah lagi, iaitu harus dapat membebaskan diri dari hak orang yang berkaitan. Contohnya jika hal itu berbentuk harta, harus dikembalikan. Jika berbentuk hukuman, ia harus menyerahkan diri mohon dimaafkan. Jika hal berupa cacian dan sebagainya, maka ia harus memohon keredhaannya.

Waktu melaksanakan taubat :

Taubat tidak boleh diundur-undur atau ditunda. Kerana jika demikian ia sangat berbahaya bagi hati manusia. Jika tidak segera menyucikan diri sedikit demi sedikit, maka pengaruh dosa itu akan bertompok-tompok, dan akhirnya akan merosakkan hati sehingga tertutup dari cahaya kebenaran.
Di antara penyebab yang akan membangkitkan jiwa bertaubat seseorang itu adalah jiwa yang selalu mengingati hari kematian dan hidup bersendirian di dalam kubur. Kata-kata mati adalah sesuatu yang sangat menakutkan kebanyakan manusia. Mati beerti berpisah dengan segala yang disayangi atau dicintai. Hari terputusnya segala nikmat. Sedangkan berpisah sebentar sahaja dengan anak atau isteri, dapat mengalirkan air mata kesedihan, apa lagi berpisah untuk selamanya

Sabda Rasulullah SAW pula: “Setiap anak Adam (manusia) banyak melakukan dosa, dan sebaik-baik orang berdosa ialah orang yang banyak bertaubat.” (Hadis riwayat at-Tirmizi dan Ibnu Majah).

Firman Allah SWT:
وَتُوبُوا إِلَى اللَّـهِ جَمِيعًا أَيُّهَ الْمُؤْمِنُونَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ ﴿٣١
“Dan bertaubatlah kamu kepada Allah, wahai sekalian Mukmin, semoga kamu mendapat kejayaan” (Surah an-Nur: ayat 31).
Taubat ialah berhenti daripada melakukan dosa dan maksiat, menyesal atas kesilapan yang telah dilakukan dan berazam tidak mengulanginya lagi serta kembali mengikut segala tuntutan syarak dan mendekatkan diri kepada Allah SWT. Iaitu membetulkan sikap yang salah dan mendekatkan diri kepada Allah dengan melakukan ketaatan dan kembali kepada-Nya dengan memperbaharui niat untuk melakukan amal kebajikan.
Dengan kata lain taubat adalah perasaan kesal yang amat sangat dan menimbulkan keazaman dan niat untuk berubah. Manusia yang bertaubat tahu maksiat adalah halangan memperoleh kasih sayang Allah SWT, oleh itu dia akan bersungguh-sungguh meninggalkan maksiat yang pernah dilakukan dan memohon keampunan Allah SWT dengan taubat nasuha.
Imam Ahmad meriwayatkan daripada Abdullah b. Amr, daripada Nabi SAW ketika Baginda sedang berada di atas mimbar, Rasulullah SAW bersabda: “Berilah kasih sayang, nescaya kamu akan dikasihi dan berilah keampunan nescaya kalian akan diberikan keampunan. Celakalah bagi orang yang mendengar pengajaran, tetapi tidak mengamalkan dan celaka pula bagi orang yang terus menerus berbuat dosa yang mereka kerjakan, sedangkan mereka mengetahui (larangan berbuat dosa).”

Catatan popular daripada blog ini

Makan-makan di Kerteh/Kertih Terengganu

Kedai Peralatan Memanah & Kelas Memanah Kuantan

Living in Abundance - Tuan Afnan Rosli